Pages

Feed icon

Followers

Friday, June 25, 2010

Baju pun indie

Sebelum ini, kita biasa dihidangkan dengan filem indie, kemudian kita melihat kebangkitan band muzik indie, kini rekaan baju indie juga semakin popular.
KOMBINASI keremajaan dan idealisme anak muda terpancar pada jenama-jenama ini. 

PEMINAT muzik dan fesyen tempatan yang inginkan karya-karya unik, apa kata ikuti siri jelajah anjuran Angkatan Baju Malaya (ABM) yang akan diadakan di seluruh negara.
Siri jelajah ABM menggabungkan persembahan muzik langsung dan bazar fesyen bermula 17 Mei lalu yang menyaksikan MCPA Grand Hall, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pertama.
Dengan siri jelajah ini, koleksi pakaian aliran fesyen terbaru serta kumpulan muzik hebat tidak lagi milik eksklusif mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Pengasas bersama ABM, Azizul Abdul Latif dari kolektif pakaian 'Pop Malaya' berkata, sudah tiba masanya untuk ABM membawa jenama mereka ke luar Lembah Klang, di mana kebanyakan penggemar setia mereka bermastautin.
"Selain dapat memperluaskan lagi peluang perniagaan, siri jelajah ini juga adalah pendekatan kami dalam memupuk kesedaran tentang pergerakan kreatif tempatan kepada masyarakat luar Kuala Lumpur," katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
ABM ialah sebuah kolektif yang terdiri daripada 18 jenama bebas tempatan, khususnya pakaian dan hasil seni.
Jenama-jenama ini mencipta, mereka, mencetak dan menjual sendiri produk mereka secara independent atau 'indie' dalam slanga anak muda.
ABM disertai jenama antaranya The Super Sunday, Pop Malaya/Evol, Pop Rina, Defy, Junnu, Pattern, I heart KL, Bangkit dan Wearenvy.
Azizul berkata, salah satu sebab kenapa ABM ditubuhkan ialah supaya jenama-jenama indie ini dapat berkongsi sumber dan kos secara kolektif.
Kombinasi keremajaan dan idealisme anak muda terpancar pada jenama-jenama ini.
Ini wajar kerana produk yang dihasilkan bertujuan untuk mereka mengekspresikan diri tentang pelbagai perkara yang membelenggu remaja daripada isu sosial, politik, budaya hinggalah kepada alam sekitar.
"Rekaan kami mencerminkan perspektif anak muda dengan cita rasa tempatan," kata Azizul.
Bagi pengasas jenama Junnu, yang terkenal dengan baju-t, shuang-xi dan Goo Mei Jun, rekaan fesyennya turut bertujuan untuk menimbulkan kesedaran.
"Rekaan saya dipengaruhi oleh situasi sosial, politik dan budaya. Dengan siri jelajah ini, kami berharap dapat mengekspresi nilai dan perspektif kami kepada orang awam melalui koleksi pakaian, aksesori dan hasil karya kami," kata Goo.
Bagi Ahda Hazariman Zainul, yang juga pengasas bersama ABM dan pereka untuk jenama Defy, beliau percaya ABM akan menjadi landasan untuk pereka indie mencapai cita-cita dan impian mereka.
"Kami semua mahu menjadi seperti Nike, Adidas, Volcom, Evisu satu hari nanti. Diharapkan dengan usaha ini, kami mampu mencapainya dan pada masa yang sama, kami tidak kehilangan jati diri dan ciri-ciri generasi muda Malaysia," kata Ahda.



Tambahnya, kualiti material dan rekaan jenama indie mampu bersaing dengan jenama yang terkenal, apatah lagi jenama indie tempatan dijual pada harga berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua.
Sementara itu, Mohd Aizat Ishraff dari kolektif kemeja-t, My Happiness tidak sabar untuk bertemu khalayak di luar Kuala Lumpur terutamanya di Terengganu dan Johor.
Pelajar perakaunan dari Universiti Teknologi Mara ini yakin dengan respons positif dari luar Kuala Lumpur berdasarkan pengalaman My Happiness di Melaka dan Ipoh, Perak.
"Sambutan pasti ada. Mereka sedang menunggu kami. Dulu, hanya mereka dari khalayak indie sahaja yang berminat untuk memiliki barangan kami. Tetapi, kini kanak-kanak berusia 12 tahun datang bersama ibu bapa untuk membeli produk indie. Reaksi ini sangat memberangsangkan," katanya.
Siri jelajah ABM yang bermula di Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu akan diteruskan di Johor Bahru (Taat House, 7 Jun), Ipoh (After Five Pub, 15 Jun) dan Kuala Terengganu (Dewan Belia & Sukan, Pasir Panjang, 28 Jun).
Menampilkan bakat pereka muda, ABM bukan sahaja acara untuk peminat fesyen. Ia akan turut menampilkan persembahan dari kumpulan indie tersohor seperti OAG, The Other Side of Orchestra, Azmyl Yunor & The Sigarettes, Couple, Nao dan Muck.
Orang ramai pasti rambang mata dengan pelbagai pilihan gerai yang menjual pelbagai produk karyawan indie seperti pakaian, aksesori, CD, lukisan, cenderahati dan banyak lagi.
Terdapat juga pelbagai aktiviti seperti lukisan jalanan, percetakan skrin sutera dan demonstrasi grafiti.
Untuk maklumat lanjut mengenai siri jelajah ABM, layari www.myspace.com/angkatanbajumalaya. - Bernama

0 comments: